Dalam dunia insurans, pihak pertama ialah anda (iaitu pemandu), pihak kedua ialah syarikat insurans dan pihak ketiga pada asasnya ialah semua orang lain. Perlindungan Pihak Ketiga memberi perlindungan kepada anda terhadap kecederaan atau kematian orang lain, serta kerugian atau kerosakan ke atas harta benda pihak ketiga yang disebabkan oleh kenderaan anda.
Pada asasnya, Perlindungan Pihak Ketiga memberikan tahap perlindungan minimum kepada anda dalam kes kemalangan. Dengan Perlindungan Pihak Ketiga, anda tak dapat buat tuntutan ke atas sebarang kerosakan pada kenderaan anda. Oleh itu, polisi jenis ini ditawarkan pada premium yang lebih rendah berbanding dengan Perlindungan Komprehensif (lihat di bawah). Insurans Pihak Ketiga ialah tahap perlindungan minimum seseorang pemandu perlu ada untuk perbaharui cukai jalan dan memandu dengan sah di jalan raya.
Orang yang selalunya mendapatkan Perlindungan Pihak Ketiga adalah mereka yang mempunyai kereta yang lama atau tidak lagi berada di bawah perjanjian pembiayaan (contohnya sewa-beli). Walaupun Perlindungan Pihak Ketiga harganya lebih murah, kereta lama lebih cenderung mengalami kemalangan, yang bermakna ia mungkin akan makan belanja yang lebih banyak dalam jangka masa panjang.
Proses mendapatkan Insurans Pihak Ketiga adalah lebih sulit sedikit kerana kebanyakan syarikat insurans lebih gemar menguruskan Perlindungan Komprehensif. Ini sebahagiannya kerana peningkatan dalam kemalangan jalan raya dan kos tuntutan sejak akhir-akhir ini, yang menjadikan Perlindungan Pihak Ketiga tak berapa menguntungkan kepada syarikat insurans. Selain itu, agak sukar untuk menganggar nilai kereta lama, yang mana ianya perlu dalam pengiraan premium insurans.
Bagi mereka yang membuat petimbangan nak dapatkan Insurans Pihak Ketiga, kemungkinan terdapatnya “premium tambahan” yang perlu ditanggung oleh pemandu. Premium tambahan adalah jumlah tambahan yang ditambah kepada premium insurans untuk menunjukkan risiko yang meningkat. Sesetengah syarikat insurans memerlukan pemandu membeli lain-lain bentuk perlindungan insurans (seperti Insurans Kemalangan Peribadi) untuk mendapatkan Polisi Pihak Ketiga. Untuk tingkatkan peluang anda mendapat Perlindungan Pihak Ketiga, anda dinasihatkan berada di bawah satu syarikat insurans untuk kedua-dua perlindungan motor dan tidak motor, dan mengekalkan rekod langganan yang baik dalam semua akaun.
No comments:
Post a Comment